Keluarga SHATTIRS

Keluarga SHATTIRS
Assalamualaikum WBT

SHATTIRS Followers

Popular Posts

Thursday, August 16, 2007

Mahasiswa 2 Dalam 1 (Belajar + Berkahwin)


OLeh: Ketua Bait Muslim Tanta


PENDAHULUAN

Mutakhir ini kita menyaksikan ramai dikalangan penuntut ilmu khususnya di Dataran Al Azhar ini mendirikan rumahtangga ketika di alam pengajian. Kalau dahulu, hanya mereka yang selepas 5-6 tahun menetap di Mesir atau pun yang menyambung pelajaran di peringkat Master sahaja yang berumahtangga. Tapi kini, bukan sahaja mereka-mereka yang setahun dua bergelumang dengan debu kinanah, bahkan sebelum tiba di sini sudah pun menjadi raja sehari, baik STAM mahu pun muadalah.

Fenomena ini sebenarnya membawa kesan positif, baik bagi diri sendiri mahupun masyarakat sekitar (kawan-kawan seperjuangan). Memandangkan gaya hidup dan sosial kehidupan masyarakat dunia hari ini sudah mula kembali ke zaman jahiliyah, perkahwinan adalah salah satu usaha menangkis runtunan nafsu ke arah maksiat.

Fokus penulis pada kali ini adalah untuk membawa sidang pembaca berfikir sejenak tentang beberapa perkara yang perlu diperhatikan untuk menjadi "Mahasiswa 2 Dalam 1".

1. Kewangan

"Hang nak bagi makan apa kat bini hang nanti? Pasiaq?" Antara contoh dialog ibu bapa (Utara) apabila si anak memohon permit untuk berkahwin. Menggambarkan betapa besarnya faktor kewangan sebagai persediaan dalam membina rumahtangga. Memang tidak dinafikan, kewangan yang kukuh sangat-sangat penting dalam mengharungikehidupan rumahtangga. Apatah lagi salam situasi seorang pelajar, sumber kewangan bergantung kepada penjaga, zakat, dan pinjaman yang mana sumber-sumber ini tidak menentu datangnya, boleh jadi dapat boleh jadi tidak, boleh jadi banyak boleh jadi sikit, dan boleh jadi tak dapat langsung. Apakah penyelesaiannya?

Keyakinan yang tinggi kepada ketentuan rezeki Allah SWT amatlah penting. Jika diri sudah membuat keputusan, pasti di sana ada lubang rezeki yang telah disediakan. Bukankah pepatah ada mengatakan "Di mana ada kemahuan di situ ada jalan"? Rezeki untuk setiap hamba di muka bumi ini sudah ditentukan,apatah lagi sorang penuntut ilmu agama, hanya perlukan usaha untuk mendapatkannya. Seperti yang kita lihat hari ini, sebagai contoh bagi pasangan yang agak terhad sumber kewangannya, mereka menjalankan perniagaan seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Bahkan mereka mampu untuk memelihara 2-3 orang penyambung keturunan. Tidakkah kita percaya pada ayat ويرزقه من حيث لا يحتسب ? Mungkin rezeki itu tidak bergolek kepada kita sebaliknya melayang kepada penjaga yang menjadi sumber kewangan. Bagi penulis, kemahuan dan keyakinan perlu diseimbangi dalam mengatasi masalah pertama ini.

2. Masa

Apabila hidup berkeluarga, pasti jadual hidup berubah. Benarkah begitu? Benarkah dengan berkahwin masa untuk belajar berkurangan? Tiada masa untuk persatuan? Kalau begini bermain difikiran kita, maka tak perlulah kita berkahwin sampai bila-bila. Mengapa? Apabila tamat pembelajaran nanti susah tentu kita sibuk dengan kerja, masyarakat, ibu bapa dan saudara mara, parti (bagi yang minat politik), maka sudah tentu dengan berkahwin mengurangkan masa dakwah kita. Sanggupkah kalian?

Pada pandangan penulis, jadual hidup sebenarnya tidak perlu diubah. Dengan berkahwin sebenarnya mengukuhkan malah mendisiplinkan jadual hidup kita. Bahkan dengan berkahwin semasa belajar mengajar, melatih kita agar bersedia dalam menempuh gelombang hidup bermasyarakat apabila kita pulang nanti. Dengan masa yang kita katakana terbatas ini mengajar kita agar menghargai masa, menyiapkan dan membuat sesuatu kerja tepat pada masanya. Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik bagaimana baginda menyusun masa dengan cukup teratur sebagai seorang suami, Rasul, Ayah, Perdana Menteri dan sebagainya.

PENUTUP

Tidak penulis nafikan pada peringkat permulaan mungkin agak tidak teratur, kelam kabut dan sewaktu dengannya. Sedangkan sewaktu mula berjalan ketika kecil dahulu pun kita sering terjatuh, inikan pula mula mengemudi bahtera syurga dunia. Bukanlah niat penulis untuk menyeru sidang pembaca agar berkahwin semasa belajar, tetapi sekadar membuka minda agar ianya difikirkan, ditimbang dengan mizan akal yang waras. Bukankah seruan berkahwin oleh Rasulullah SAW kepada golongan pemuda, pemuda seperti kita? Memandangkan kita bakal pimpinan masyarakat, bakal memandu masyarakat ke arah wawasan akhirat, sudah tentu kita tidak mahu lorong hidup kita dicemari dengan maksiat. Ditambah dengan persekitaran hidup kita di sini yang mencabar keimanan, kemudahan teknologi canggih yang memungkin kita terpalit dosa percuma, maka perkahwinan cabang penyelesaian bagi lelaki bernafsu!

Berkahwin semasa belajar tidaklah membebankan dan tidak pula menyukarkan. Tidak perlu sehebat Saidina Ali R.A ilmuan, atau Saidina Usman R.A yang hartawan. Apa yang penting adalah persediaan, kemahuan dan keberanian dalam memikul amanah Allah SWT.

No comments: